Sabtu, 30 Ogos 2008

Ya Allah berkatilah kami dalam bulan Rejab dan dalam bulan Syaaban dan sampaikanlah kami ke dalam bulan Ramadhan .

Sahabat ku Tetamu Agung ini bakal berkunjung beberapa hari lagi. Ahlan Ya Ramadhan, lambaianmu Ramadhan menggamit hati-hati kami untuk bersama-sama menyemarakkanmu. Semoga ruang dan peluang yang Allah sediakan 1 bulan istimewa buat kita ini memberi pelatihan abadi untuk pengendalian hati dan diri bagi meraikan kemerdekaan sejati.

Sahabatku :

Andai ku tahu ini Ramadhan terakhir

Tentu siangnya sibuk berzikir
Tentu tak akan jemu melagukan syair rindu
Mendayu....merayu....kepadaNya Tuhan yang satu

Andai ku tahu ini Ramadhan terakhir

Tentu solat ku kerjakan di awal waktu
Solat yang dikerjakan....sungguh khusyuk
Lagi tawaduk
Tubuh dan qalbu bersatu
Memperhambakan diri
Mengadap Rabbul Jalil.....menangisi
Kecurangan janji
"innasolati wanusuki wamahyaya
Wamamati lilahirabbil ’alamain"
( sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku...
Kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekalian alam )

Andai ku tahu ini Ramadhan terakhir

Tidak akan ku siakan walau sesaat yang berlalu
Setiap masa tak akan dibiarkan begitu saja
Disetiap kesempatan juga masa yang terluang
Alunan al-quran bakal ku dendang...
Bakal ku syairkan

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir

Tentu malam mu engkau sibukkan dengan
Bertarawih
Berqiamullail, bertahajud
Mengadu...merintih. ..meminta belas kasih
"sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurgaMu
Tapi ku juga tidak sanggup untuk ke nerakaMu"


Andai ku tahu ini Ramadhan terakhir

Tentu diriku tak akan melupakan yang tersayang
Mari kita meriahkan Ramadhan
Kita buru...kita cari...suatu malam idaman
Yang lebih baik dari seribu bulan

Andai ku tahu ini Ramadhan terakhir

Tentu ku bakal menyediakan batin dan zahir
Mempersiapkan diri, rohani dan jasmani
Menanti-nanti jemputan Izrail
Di kiri dan kanan lorong-lorong redha Ar-Rahman.

Duhai Ilahi
Andai ini Ramadhan terakhir buat kami
Jadikanlah ia Ramdhan yang paling bererti
Paling berseri menerangi kegelapan hati kami
Menyeru ke jalan menuju redha serta
Kasih sayangMu Ya Ilahi
Semoga bakal mewarnai kehidupan kami di sana nanti

Namun teman ...
Tak akan ada manusia yang bakal mengetahui
Apakah Ramadhan ini yang terakhir kali bagi dirinya
Yang mampu bagi seorang hamba itu hanyalah
Berusaha....bersedia....meminta belasNya

ANDAI BENAR INI RAMADHAN TERAKHIR BUAT AKU
MAAFKAN SEMUA KESALAHAN DAN KESILAPAN
YANG PERNAH AKU LAKUKAN
”MARHABAN YAA RAMADHAN”

Jumaat, 29 Ogos 2008

Renungkanlah Tulisan A Kadir Jasin Ini

ANWAR Ibrahim sudah menang besar dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh 26 Ogos lalu. Sudah angkat sumpah jadi Ahli Dewan Rakyat. Dan sudah dipilih Ketua Pembangkang.
Abdullah Ahmad Badawi pun sudah beri reaksi. Macam biasa, tidak ada apa-apa berlaku dalam dunia “damai abadi” Perdana Menteri.Akhbar arus perdana milik Umno, Utusan Malaysia memetik beliau sebagai berkata kekuatan Barisan Nasional (BN) di semua peringkat tidak sekali-kali terjejas ekoran kemenangan Anwar.
Dan satu-satunya pemimpin Umno yang tidak diserang penyakit “koro”, Tengku Razaleigh Hamzah dilaporkan oleh portal berita bebas Malaysiakini sebagai berkata negara akan terus parah jika Abdullah terus memerintah.Katanya Abdullah “tidak mempunyai kewibawaan minimum untuk mentadbirkan negara hari ke hari apatah lagi memimpin Malaysia ke arah yang betul di dalam dunia yang kompleks ini.”
Jadi, dengan izin, dalam posting kali ini, saya hendak bercakap perkara yang lain sikit -- mengenai betapa “mudahnya” menjadi orang Islam di Malaysia.Kerana mudah itulah agaknya ramai orang Islam Malaysia tidak banyak berfikir sebaliknya asyik bertelagah dan bertelingkah.
Ada orang kata, orang Islam Malaysia adalah Muslim pseudo, Muslim kelahiran dan Muslim perlembagaan bukan Muslim kerana akidah, ilmu dan amalan.Apa tidaknya, akidah orang Islam dipertahankan oleh Perlembagaan. Islam adalah agama Persekutuan Malaysia. Kalau Melayu agamanya wajib Islam. Agama-agama lain tidak boleh disebarkan di kalangan orang Islam.
Simbol Islam di merata tempat --- masjid indah, surau, madrasah, tudung, ketayap, serban dan makanan halal. Tak pakai jam pun tak apa. Lima kali sehari azan akan berkumandang mengingatkan mengenai masa.
Tetapi di mana saya berada ketika membuat posting ini, suara azan digantikan dengan bunyi loceng gereja. Loceng gereja berbunyi empat kali setiap jam.Sekali dong pada suku jam. Dua kali dong pada setengah jam. Tiga kali dong pada tiga suku jam. Diikuti oleh waktu sebenar. Kalau pukul satu, sekalilah dongnya dan kalau jam 12 tengah hara atau malam, 12 kalilah dongnya.
Sebagai orang Islam Malaysia, kita akan serta merta mendapati rupa-rupanya “lebih susah” jadi orang Islam di tempat seperti ini.Ambil contoh waktu solat. Pada 28 Ogos, Subuh masuk jam 4.47 pagi dan habis 6.39 pagi. Zuhur jam 1.27 petang, Asar 5.12, Magrib 8.13 malam dan Isyak 9.59 malam.Taklah banyak sangat bezanya dengan di Malaysia. Tapi pada 1 Ogos lalu, Subuh jam 3.49 pagi dan Isyak 11.05 malam. Bayangkan hendak tunggu hingga jam 11 malam untuk menunaikan Isyak, pasti ramai yang tertidur!
Berpuasa pula tidak sama waktunya. Kalau jatuh musim panas, maka panjanglah waktunya – daripada jam 4 pagi hingga 9.45 malam. Tapi kalau musim sejuk, pendeklah waktunya – daripada jam 6 atau 6.30 pagi hingga 4.00 atau 4.30 petang.Sesiapa yang berpuasa sunat pada 1 Ogos lalu, akan berpuasa daripada jam 6.03 pagi hingga 8.59 malam.(Terfikir oleh saya kalau seseorang Muslim itu mengamalkan disiplin Islam, dia tidak akan lewat atau gagal menunaikan temu janji sebab menepati masa dan janji sudah menjadi amalan melalui solat dan berpuasa.)
Bagi kita yang mengembara, nampak susahlah tetapi bagi umat Islam di negara ini, mereka mungkin sudah biasa. Sebagai kumpulan minoriti, mereka terpaksa mengalami banyak kesukaran dan ujian yang kita di Malaysia tidak tahu dan tidak ambil peduli.
Bukan mudah nak makan kalau terlalu taasub dengan halal dan haram. Mana ada dapur halal (halal kitchen) atau kedai makan halal macam di Malaysia.Kalau pun ada restoran halal, kita kena berjalan atau berkenderaan berbatu-batu mencarinya. Dan harganya tentulah lebih mahal daripada kedai makanan biasa.
Begitu jugalah kalau nak cari daging halal yang umumnya diimport dari Brazil.Brazil? Ya, Brazil. Brazil, sebuah negara Kristian adalah antara negara pengeksport daging dan ayam halal yang terbesar di dunia. Hatta negara-negara Arab pun mengimport ayam dan daging dari negara Amerika Selatan itu.Kita di Malaysia heboh bercakap mengenai “halal hub.” Tetapi adakah kita tahu yang Negeri Thai mengeluarkan lebih banyak makanan halal untuk eksport – termasuk ke negara kita sendiri?
Di negara yang saya berada sekarang terletak ibu pejabat syarikat Nestle. Syarikat Nestle adalah antara pengilang makanan halal terbesar di dunia.Orang bukan Islam tahu nilai ekonomi label halal, tapi peniaga makanan Islam di Malaysia jarang sangat gunakan logo halal. Jadi bila orang Arab nak cari makanan halal di Malaysia mereka pergi ke restoran Cina yang bersijil halal atau ke Mcdonald dan KFC.
Kalau difikir-fikirkan, umat Islam Malaysia sepatutnya menjadi Muslim yang unggul dalam segala aspek. Tetapi kerana terlalu dilindungi, ramai daripada Muslim Malaysia menjadi Muslim pseudo dan menghabiskan masa dan tenaga membahaskan isu remeh-temeh.Boleh jadi kerana akidah kita tidak diuji dan orang agama lain tidak dibenar mempropagandakan agama mereka kepada umat Islam maka orang Islam Malaysia menjadi alpa, cetek dan besar kepala.Apatah lagi apabila pembesar-pembesar politik Muslim sendiri menunjukkan contoh yang buruk seperti lewat datang kerja, lewat ke majlis dan mungkir janji untuk hadir di sesuatu majlis.Tak cukup dengan itu mereka bersumpah sana sini dengan menggunakan nama Allah dan mengamalkan amalan songsang.
Agaknya kerana itu jugalah tidak ramai orang Islam Malaysia yang berminat dan tidak berani bergaul dengan orang bukan Islam. Apatah lagi berbincang dan berbahas mempertahankan hak Islam.
Sedangkan orang bukan Islam dari negara-negara maju begitu kagum apabila mereka melawat Malaysia. Mereka kagum dengan tahap kemajuan negara kita. Mereka kagum melihat wanita Islam yang bertudung tetapi memandu kereta Mercedes dan BMW. Mereka kagum berunding dengan eksekutif wanita Islam yang pakar dan pintar.
Tetapi kalau kita biarkan ketidakhaluan pemerintahan sekarang berterusan, bukan sahaja kelangsungan negara kita Malaysia akan terancam malah kesucian Islam akan ternoda.Seperti kita maklum, sudah pun wujud percubaan untuk menguji kesabaran dan keazaman umat Islam Malaysia secara tersurat dan tersirat.
Selamat menyambut Hari Ulang Tahun Kemerdekaan dan selamat puasa Ramadan.

Isnin, 25 Ogos 2008

Assalamualaikum wm wb

Alhamdulillah Penerbangan Pesawat KRJ Team Perak selamat mendarat di MRSM Pasir Salak. Program KBM kali ini digabungkan sekali dengan Kem Teknik Menjawab untuk 6 buah sekolah di Kg Gajah anjuran Yayasan Pelajaran Mara dengan kerjasama MRSM Pasir Salak sebagai tuan rumah dan penyelaras dan Pejabat Pelajaran Daerah Perak Tengah.

Peserta seramai 97 orang pelajar tingakatan 3 yang akan mengambil peperiksaan PMR tahun ini. Sekolah yang terlibat:
MRSM Pasir Salak
SMK Dato’ Maharaja Lela
SM Raja Dr Nazrin Shah
SABK Maahad Ehyak Diniah Islamiah
SMK Cangkat Lada
SMK Sultan Abdul Jalil Shah

Kem Teknik Menjawab dimulakan pada hari Jumaat jam 2.30 ptg. Pelajar-pelajar terpilih ini telah mengikuti kelas tuisyen yang dianjurkan oleh YPM selama 8 minggu. Di penghujung program tuisyen diadalah bengkel menjawab solan, ujian dan di tambah dengan Program KBM.

Pesawat KRJ mulakan penerbangan pada hari Sabtu Jam 2 ptg. Dimulakan dengan KMKY oleh Abg Bob + Abg Afiq + Pak Tam sambung lepas solat Asar dengan Salam Mesra 2.

Lepas Maghrib, Ummi Nita sampaikan kuliah Maghrib

Lepas solat Isyak, kita buat solat hajat untuk pelajar ambil periksa PMR, lepas tu MAM1 oleh Pak Teh. Kali ni kita buat MAM1 je, krew ramai yang cuti.

Pagi buat Kini & Hijrah sampai jam 1 tgh. Ucapan penutup dibuat oleh Penolong Pengetua MRSM Pasir Salak.

Dalam perjalanan balik singgah didusun tepi jalan kat Kg Gajah, cari durian “magko”….

Jzkklah pada krew yang hadir dari UTP, KPM dan abang2 dari Manjung…minggu depan peserta ini ada “konvo” terima sijil dan majlis penutup program tuisyen.

Tu je dari Pak Teh

Ahad, 24 Ogos 2008

Selamat Datang Ramadhan

Assalamualaikum wbt.



Hanya lebih kurang seminggu sahaja lagi Ramadhan akan datang menemui kita. Setiap tahun Ramadhan akan mengunjungi kita, Alhamdulillah kita masih lagi dipanjangkan umur oleh Allah swt untuk menyambut kedatangannya. Ramai di antara teman-teman, keluarga dan kenalan-kenalan yang bersama-sama kita menyambut Ramadhan di tahun lalu tidak berkesempatan untuk menyambutnya kali kerana Allah swt telah menjemput mereka menemuiNya.



Anak-anak kasih dan sayang, sudah kah kita bersedia untuk menyambut kedatangan Ramadhan yang akan menjelang beberapa hari lagi? Sudahkah kita menanam azam untuk melakukan yang terbaik dalam bulan Ramadhan kali ini? Gunakanlah peluang yang telah diberi oleh Allah swt kepada kita, barangkali kita tidak lagi diberi peluang yang sama pada tahun hadapan.

Sudahkah kita menanam azam yang kuat untuk mengkhatamkan alQuran sekali dalam bulan Ramadhan itu disamping program tadarus yang kita ikuti di surau atau masjid? Sudahkah melengkapkan diri kita dari segi jasmani dan rohani untuk tetap terus melakukan solat tarawih hingga ke akhir Ramadhan walaupun apa cabaran yang kita perlu hadapi?

Marilah kita bersama-sama melengkapkan diri kita dengan apa yang perlu untuk menghadapi Ramadhan kali ini. Semoga Ramadhan kali ini memberi impak yang besar dalam diri kita, menjadikan diri kita lebih yakin dengan Allah swt. Menjadikan kita lebih baik dari segi amalan dan akhlaq. Gendong dan bawalah bersama dengan kita semangat keindahan bersama Mu dalam menghadapi bulan yang penuh dengan barakah ini, semoga anak-anak kasih dan sayang "meyerlah jauh dari yang biasa".


Pak Su

Ahad, 17 Ogos 2008

Gambar sekitar Karnival Sukan Piala Presiden JIM Zon Utara 08 di USM Nibong Tebal, Pulau Pinang
Nibong Tebal 16 Ogos 2008, pasukan bolasepak remaja team Perak telah menjadi JUARA peringkat Zon Utara Karnival Sukan Piala Presiden JIM. Pasukan ini terdiri daripada alumni KBM Teluk Intan, Perak. Manakala pasukan bola jaring remaja team Perak telah menduduki Naib Juara peringkat Zon Utara. Mereka terdiri daripada alumni KBM Ipoh, Perak. Disertakan beberapa gambar sekitar kejohanan
























Sabtu, 9 Ogos 2008

Universiti Antarabangsa AlBukhary



Semalam pak su ke alor setar dan bersembahyang di masjid alBukhary yang terletak di kampus universiti antarabangsa alBukhary. Apa yang istimewanya univerisiti ini ialah ia telah diasaskan oleh seorang koperat melayu yang dermawan. Melalui yayasan alBukhary, beliau telah menaja kelas-kelas tuisyen bagi pelajar-pelajar yang kurang mampu di seluruh negara termasuk sabah dan sarawak. Kehidupannya sungguh "sederhana" jika dibandingkan kehidupan ahli-ahli koperat lain






Pak su coretkan ini sebenarnya untuk anak-anak kasih dan sayang mengambil iktibar, jika kita berusaha bersungguh-sungguh kita boleh mencapai apa yang kita hajati. AlBukhary hanya bermula dengan menjual daging di pasar. Berkat dari kegigihan dan sifat berjimat cermat berjaya membina satu empayar perniagaannya sendiri. Dan bila kita sudah berjaya jangan pula lupa mereka yang tidak begitu bernasib baik. Kalau ke alor setar singgahlah di masjid ini. Wassalam.






Salam sayang dari

Pak Su

Khamis, 7 Ogos 2008

Peperiksaan Percubaan PMR



Assalamulaikum wbt



Kepada mereka yang akan menghadapi ujian ini pak su doakan semoga dapat menghadapinya dalam keadaan yang cukup bersedia. Walaupun ianya hanya ujian percubaan tetapi biasanya kemampuan kita dalam peperiksaan sebenar tergambar dalam ujian ini. Ini merupakan medan untuk kita mengukur setakat mana dan sejauh mana persediaan kita untuk menghadapi peperiksaan yang sebenar.



Dalam kita mempersiapkan diri kita untuk satu-satu peperiksaan ada ketikanya kita merasa jemu dan malas. Kadang-kadang kita merasa mengapa kita perlu buat semua ini. Jika anak-anak kasih dan sayang juga mengalami perasaan yang sama cuba pergi ke satu tempat yang cantik dan agak sunyi. Cuba anak-anak kasih dan sayang duduk berseorangan sambil fokuskan pemikiran pada diri sendiri.



Lupakan seketika ibu, ayah, kawan-kawan, sekolah dan semua yang di sekeliling kita dan fokuskan betul-betul hanya pada diri kita. Cuba bayangkan, dengan apa yang kita lakukan sekarang, di mana kita berada 5 tahun akan datang, 10 tahun akan datang dan seterusnya. Cuba bersungguh-sungguh dan gambarkan dengan jelas dalam fikiran kita. Perlukah kita membuat perubahan dengan apa yang kita sedang lakukan sekarang?



Dan... cuba anak-anak kasih dan sayang bayangkan pula, jika masa yang digunakan untuk melepak di cyber cafe selama 2 jam sehari itu digantikan dengan mengulangkaji pelajaran, bayangkanlah perubahan yang akan berlaku dalam tempoh 5 tahun akan datang. Walaupun perubahan itu kita lihat kecil tapi percayalah ia akan membawa impak yang besar 5 tahun akan datang atau 10 tahun akan datang. Fikirkanlah dan buatlah perubahan, anak-anak kasih dan sayang masih belum terlambat ....................................







Salam sayang dari PakSu

Ahad, 3 Ogos 2008

Persoalan Pemuda


Ada seorang pemuda mempunyai persoalan yang merunsingkan pemikirannya. Jadi dia ambil keputusan untuk bertanya pada tok imam di kampungnya.

Pemuda: Saya ada tiga soalan yang ingin bertanya pada tok imam:

Soalan pertama: Tunjukkan kepada saya bukti kewujudan tuhan itu?

Soalan kedua: Apa yang dimaksudkan dengan takdir?

Soalan ketiga: Syaitan dan neraka diperbuat daripada api, tetapi mengapakah syaitan di campak ke dalam neraka dan bukannya ke dalam air?

Lalu tok imam menampar pemuda tersebut dan berkata, Tok imam: Tamparan ini untuk menjawab ketiga-tiga soalan tadi, sakit tak tamparan itu?

Pemuda: Tentulah sakit!

Tok imam: Boleh tunjukkan pada saya rasa sakit itu?

Pemuda tersebut terdiam dan itulah jawapan untuk soalan pertama tadi.

Tok imam: Saya nak tanya, adakah malam tadi saudara bermimpi saya akan menampar saudara atau telah tahu saya akan menampar saudara?

Pemuda: Tidak! Jadi, itulah yg dinamakan takdir, soalan kedua sudah pun terjawab.

Tok imam: Tangan ini diperbuat daripada apa?

Pemuda: Tanah!

Tok imam: Jadi tamparan tadi menunjukkan pertembungan antara tanah dan tanah dan itu juga menyakitkan. Jadi, syaitan juga akan berasa kesakitan jika di humban ke dalam api.

Terjawab sudah soalan ketiga. Lalu pemuda itu pulang ke rumah dengan penuh keinsafan. Pengajaran dari kisah ini, jangan mempersoal dan meragui kekuasaan Allah Subhanahu Wa Taala.

Wallahualam.....
Abg Bob
Photobucket