Sabtu, 28 Mac 2009

Remaja Dan Paras Rupa

Assalamualaikum wbt

Lama dah pak su tidak mencoret di sini. Bukan sibuk tapi ketiadaan idea, mungkin "godspot" yang telah dikurniakan oleh Allah telah ditutupi oleh tutupan-tutupan yang disebabkan oleh dosa-dosa yang telah dilakukan.

Kali ini pak su ingin menyentuh sedikit tentang "appearance" yang menjadi satu yang utama bagi remaja. Pak su pun begitu dahulu. Walaupun ramai yang mengatakan dah "handsome" tapi masih lagi ingin menjadikan diri ini lebih menarik.

Tapi sebelum kita terlajak jauh, membazir banyak masa dan wang untuk mencantikkan diri kita marilah kita renung dan amati cerita yang akan pak su coretkan di bawah ini.

Cerita ini mengenai seorang sahabat Rasulullah yang sangat mulia yang bernama Julaibib. Julaibib ini seorang yang tidak tampan langsung dan bahkan hodoh di kalangan para sahabat Rasulullah saw. Pada suatu hari Julaibib telah mendatangi Rasulullah saw dan bertanya;

Julaibib: Wahai Rasulullah, adakah aku ini tidak laku.

Jawab Rasulullah saw: Bahkan kamu sungguh laku di sisi Allah swt.

Pada suatu hari Rasulullah saw memerintah Julaibib untuk meminang seorang anak gadis kaum ansar. Semasa Julaibib sampai ke rumah tersebut ibu dan ayah gadis tersebut merasa kurang senang dan telah menolak pinangan Julaibib. Tetapi anak gadis tersebut telah mendengar perbincangan tersebut dan keluar dengan membacakan ayat Quran yang bermaksud; "Apabila Allah dan Rasul menentukan sesuatu, apakah kita ada pilihan lain...." Jadi Julaibibkan pun dinikahkan dengan gadis tersebut.

Dalam satu peperangan Julaibib telah syahid. Setelah peperangan tamat Rasulullah saw telah bertanya kepada para sahabat; "Adakah kalian kehilangan seseorang?"

Jawab sahabat; "Sianu dan sianu dan sianu...."

Rasul bertanya lagi, "Adakah kalian kehilangan seseorang?"

Jawab sahabat, "Sipulan dan sipulan dan sipulan..."

Tanya Rasulullah lagi, " Adakah kalian kehilangan seseorang?"

Para sahabat berpandangan antara satu sama lain, dan Rasulullah pun berkata, "Aku telah kehilangan Julaibib."

Maka sahabat pun terus mencari Julaibib dan ternyata beliau telah syahid, di sekelilingnya terdapat 7 orang musuh yang telah ditewaskannya. Berita ini telah disampaikan kepada Rasulullah dan baginda pun ke tempat tersebut, lalu dipangkunya kepala Julaibib dengan tangannya dan berkata,"Sebahagian dari diri Julaibib ada padaku dan sebahagian diriku ada padanya." Dan Julaibib pun disemadikan di tempat itu.

Lihatlah wahai anak kasih dan sayang, walaupun rupanya tiada tapi hatinya dipenuhi dengan taqwa dan berada di tempat yang istimewa di hati Rasulullah. Sesungguhnya Allah swt tidak melihat pada paras rupa kamu tetapi Allah swt memerhatikan hati-hati kamu.

Wassalam.

Pak Su

Tiada ulasan:

Photobucket