Jumaat, 13 Julai 2007

3 PESANAN PAK LANG

Adik-adik kasih dan sayang,

Masih ingat tak adik-adik, 3 pesanan Pak Lang pada Sesi Meniti Angin Malam dalam program KBM yang telah adik-adik ikuti. 3 pesanan tersebut adalah:
  1. Perkara yang paling dekat dengan kita adalah kematian.
  2. Orang yang paling bijak adalah orang yang sentiasa mengingati mati dan bersedia untuknya.
  3. Berusahalah seolah-olah kita akan hidup seribu tahun lagi dan beramallah seolah-olah kita akan mati esok hari.

Pengajaran:

  1. Semakin hari umur kita semakin bertambah dan kita akan semakin hampir dengan kematian. Tidak siapapun boleh menjangkakan umur masing-masing kerana ia adalah ketentuan Allah. Apa yang nyata, kematian itu semakin menghampiri dan wajib berlaku kepada manusia. Manusia tidak boleh melarikan diri darinya.
  2. Bila kita selalu mengingati mati sudah pastilah kita akan berusaha sedaya mampu mempersiapkan diri kita untuk bertemu dengan Allah. Kita akan sentiasa mengingati Allah, buat apa yang diperintahkan Nya dan menjauhi dan meninggalkan segala laranganNYa serta sentiasa bertaubat kepadanya. Kita akan terus menjaga solat kita di mana sahaja kita berada samada senang atau susah, sihat atau sakit. Kita akan terus menghormati dan berbakti kepada kedua ibu bapa kita. Kita akan berusaha memperbaiki diri kita kepada yang lebih baik. Kita akan menasihati rakan-rakan kita menjadi manusia yang beriman dan beramal soleh. Kita terus menghormati guru-guru yang mendidik kita.
  3. Bila belajar kita akan buat dengan penuh kesungguhan. Kita rangka matlamat dan atur tindakan bagi mencapai apa yang kita cita-citakan dan apa yang menjadi harapan kedua ibu bapa kita. Komitmen dan usaha gigih kita teruskan seolah-olah kita akan hidup lama. Dalam masa yang sama kita juga gigih beribadah, menjaga solat, berzikir kepada Allah, berbakti kepada ayah dan ibu juga guru-guru, menasihati dan membantu rakan-rakan yang memerlukan. Bermanfaat kepada masyarakat. Terus beramal seolah-olah itulah amal kita yang terakhir sebelum mati esok hari.

Tiada ulasan:

Photobucket