Jumaat, 29 Ogos 2008

Renungkanlah Tulisan A Kadir Jasin Ini

ANWAR Ibrahim sudah menang besar dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh 26 Ogos lalu. Sudah angkat sumpah jadi Ahli Dewan Rakyat. Dan sudah dipilih Ketua Pembangkang.
Abdullah Ahmad Badawi pun sudah beri reaksi. Macam biasa, tidak ada apa-apa berlaku dalam dunia “damai abadi” Perdana Menteri.Akhbar arus perdana milik Umno, Utusan Malaysia memetik beliau sebagai berkata kekuatan Barisan Nasional (BN) di semua peringkat tidak sekali-kali terjejas ekoran kemenangan Anwar.
Dan satu-satunya pemimpin Umno yang tidak diserang penyakit “koro”, Tengku Razaleigh Hamzah dilaporkan oleh portal berita bebas Malaysiakini sebagai berkata negara akan terus parah jika Abdullah terus memerintah.Katanya Abdullah “tidak mempunyai kewibawaan minimum untuk mentadbirkan negara hari ke hari apatah lagi memimpin Malaysia ke arah yang betul di dalam dunia yang kompleks ini.”
Jadi, dengan izin, dalam posting kali ini, saya hendak bercakap perkara yang lain sikit -- mengenai betapa “mudahnya” menjadi orang Islam di Malaysia.Kerana mudah itulah agaknya ramai orang Islam Malaysia tidak banyak berfikir sebaliknya asyik bertelagah dan bertelingkah.
Ada orang kata, orang Islam Malaysia adalah Muslim pseudo, Muslim kelahiran dan Muslim perlembagaan bukan Muslim kerana akidah, ilmu dan amalan.Apa tidaknya, akidah orang Islam dipertahankan oleh Perlembagaan. Islam adalah agama Persekutuan Malaysia. Kalau Melayu agamanya wajib Islam. Agama-agama lain tidak boleh disebarkan di kalangan orang Islam.
Simbol Islam di merata tempat --- masjid indah, surau, madrasah, tudung, ketayap, serban dan makanan halal. Tak pakai jam pun tak apa. Lima kali sehari azan akan berkumandang mengingatkan mengenai masa.
Tetapi di mana saya berada ketika membuat posting ini, suara azan digantikan dengan bunyi loceng gereja. Loceng gereja berbunyi empat kali setiap jam.Sekali dong pada suku jam. Dua kali dong pada setengah jam. Tiga kali dong pada tiga suku jam. Diikuti oleh waktu sebenar. Kalau pukul satu, sekalilah dongnya dan kalau jam 12 tengah hara atau malam, 12 kalilah dongnya.
Sebagai orang Islam Malaysia, kita akan serta merta mendapati rupa-rupanya “lebih susah” jadi orang Islam di tempat seperti ini.Ambil contoh waktu solat. Pada 28 Ogos, Subuh masuk jam 4.47 pagi dan habis 6.39 pagi. Zuhur jam 1.27 petang, Asar 5.12, Magrib 8.13 malam dan Isyak 9.59 malam.Taklah banyak sangat bezanya dengan di Malaysia. Tapi pada 1 Ogos lalu, Subuh jam 3.49 pagi dan Isyak 11.05 malam. Bayangkan hendak tunggu hingga jam 11 malam untuk menunaikan Isyak, pasti ramai yang tertidur!
Berpuasa pula tidak sama waktunya. Kalau jatuh musim panas, maka panjanglah waktunya – daripada jam 4 pagi hingga 9.45 malam. Tapi kalau musim sejuk, pendeklah waktunya – daripada jam 6 atau 6.30 pagi hingga 4.00 atau 4.30 petang.Sesiapa yang berpuasa sunat pada 1 Ogos lalu, akan berpuasa daripada jam 6.03 pagi hingga 8.59 malam.(Terfikir oleh saya kalau seseorang Muslim itu mengamalkan disiplin Islam, dia tidak akan lewat atau gagal menunaikan temu janji sebab menepati masa dan janji sudah menjadi amalan melalui solat dan berpuasa.)
Bagi kita yang mengembara, nampak susahlah tetapi bagi umat Islam di negara ini, mereka mungkin sudah biasa. Sebagai kumpulan minoriti, mereka terpaksa mengalami banyak kesukaran dan ujian yang kita di Malaysia tidak tahu dan tidak ambil peduli.
Bukan mudah nak makan kalau terlalu taasub dengan halal dan haram. Mana ada dapur halal (halal kitchen) atau kedai makan halal macam di Malaysia.Kalau pun ada restoran halal, kita kena berjalan atau berkenderaan berbatu-batu mencarinya. Dan harganya tentulah lebih mahal daripada kedai makanan biasa.
Begitu jugalah kalau nak cari daging halal yang umumnya diimport dari Brazil.Brazil? Ya, Brazil. Brazil, sebuah negara Kristian adalah antara negara pengeksport daging dan ayam halal yang terbesar di dunia. Hatta negara-negara Arab pun mengimport ayam dan daging dari negara Amerika Selatan itu.Kita di Malaysia heboh bercakap mengenai “halal hub.” Tetapi adakah kita tahu yang Negeri Thai mengeluarkan lebih banyak makanan halal untuk eksport – termasuk ke negara kita sendiri?
Di negara yang saya berada sekarang terletak ibu pejabat syarikat Nestle. Syarikat Nestle adalah antara pengilang makanan halal terbesar di dunia.Orang bukan Islam tahu nilai ekonomi label halal, tapi peniaga makanan Islam di Malaysia jarang sangat gunakan logo halal. Jadi bila orang Arab nak cari makanan halal di Malaysia mereka pergi ke restoran Cina yang bersijil halal atau ke Mcdonald dan KFC.
Kalau difikir-fikirkan, umat Islam Malaysia sepatutnya menjadi Muslim yang unggul dalam segala aspek. Tetapi kerana terlalu dilindungi, ramai daripada Muslim Malaysia menjadi Muslim pseudo dan menghabiskan masa dan tenaga membahaskan isu remeh-temeh.Boleh jadi kerana akidah kita tidak diuji dan orang agama lain tidak dibenar mempropagandakan agama mereka kepada umat Islam maka orang Islam Malaysia menjadi alpa, cetek dan besar kepala.Apatah lagi apabila pembesar-pembesar politik Muslim sendiri menunjukkan contoh yang buruk seperti lewat datang kerja, lewat ke majlis dan mungkir janji untuk hadir di sesuatu majlis.Tak cukup dengan itu mereka bersumpah sana sini dengan menggunakan nama Allah dan mengamalkan amalan songsang.
Agaknya kerana itu jugalah tidak ramai orang Islam Malaysia yang berminat dan tidak berani bergaul dengan orang bukan Islam. Apatah lagi berbincang dan berbahas mempertahankan hak Islam.
Sedangkan orang bukan Islam dari negara-negara maju begitu kagum apabila mereka melawat Malaysia. Mereka kagum dengan tahap kemajuan negara kita. Mereka kagum melihat wanita Islam yang bertudung tetapi memandu kereta Mercedes dan BMW. Mereka kagum berunding dengan eksekutif wanita Islam yang pakar dan pintar.
Tetapi kalau kita biarkan ketidakhaluan pemerintahan sekarang berterusan, bukan sahaja kelangsungan negara kita Malaysia akan terancam malah kesucian Islam akan ternoda.Seperti kita maklum, sudah pun wujud percubaan untuk menguji kesabaran dan keazaman umat Islam Malaysia secara tersurat dan tersirat.
Selamat menyambut Hari Ulang Tahun Kemerdekaan dan selamat puasa Ramadan.

Tiada ulasan:

Photobucket