Ahad, 24 Ogos 2008

Selamat Datang Ramadhan

Assalamualaikum wbt.



Hanya lebih kurang seminggu sahaja lagi Ramadhan akan datang menemui kita. Setiap tahun Ramadhan akan mengunjungi kita, Alhamdulillah kita masih lagi dipanjangkan umur oleh Allah swt untuk menyambut kedatangannya. Ramai di antara teman-teman, keluarga dan kenalan-kenalan yang bersama-sama kita menyambut Ramadhan di tahun lalu tidak berkesempatan untuk menyambutnya kali kerana Allah swt telah menjemput mereka menemuiNya.



Anak-anak kasih dan sayang, sudah kah kita bersedia untuk menyambut kedatangan Ramadhan yang akan menjelang beberapa hari lagi? Sudahkah kita menanam azam untuk melakukan yang terbaik dalam bulan Ramadhan kali ini? Gunakanlah peluang yang telah diberi oleh Allah swt kepada kita, barangkali kita tidak lagi diberi peluang yang sama pada tahun hadapan.

Sudahkah kita menanam azam yang kuat untuk mengkhatamkan alQuran sekali dalam bulan Ramadhan itu disamping program tadarus yang kita ikuti di surau atau masjid? Sudahkah melengkapkan diri kita dari segi jasmani dan rohani untuk tetap terus melakukan solat tarawih hingga ke akhir Ramadhan walaupun apa cabaran yang kita perlu hadapi?

Marilah kita bersama-sama melengkapkan diri kita dengan apa yang perlu untuk menghadapi Ramadhan kali ini. Semoga Ramadhan kali ini memberi impak yang besar dalam diri kita, menjadikan diri kita lebih yakin dengan Allah swt. Menjadikan kita lebih baik dari segi amalan dan akhlaq. Gendong dan bawalah bersama dengan kita semangat keindahan bersama Mu dalam menghadapi bulan yang penuh dengan barakah ini, semoga anak-anak kasih dan sayang "meyerlah jauh dari yang biasa".


Pak Su

Tiada ulasan:

Photobucket