Isnin, 21 Julai 2008

Mari Mengubah Kebiasaan Negatif



Apa yang dikatakan kebiasaan (habit) itu? Ia adalah perkara yang kita lakukan berulang-ulang kali. Sebahagian besarnya kita tidak sedar pun bila kita melakukannya. Tetapi apa yang menggembirakan kita ialah ianya kita boleh ubah. Sebenarnya kita lebih kuat dari kebiasaan yang kita lakukan tidak seperti kucing pak su ni yang tidak mampu untuk mengubahnya. Cuba anak-anak kasih dan sayang berpeluk tubuh. Jika kebiasaannya tangan kanan berada di atas tangan kiri, sekarang cuba ubah tangan kiri berada di atas tangan kanan. Anak-anak kasih dan sayang akan merasa janggal dan pelik buat seketika. Cuba anak-anak kasih dan sayang lakukan selama tiga puluh hari, kita akan rasa selesa dan setiap kali kita berpeluk tubuh tangan kiri akan berada di atas tangan kanan. (Berhati-hati semasa solat). Anak-anak kasih dan sayang telah berjaya mengubah kebiasaan anak-anak kasih dan sayang.

Begitu juga dengan kebiasaan-kebiasaan lain. Cuba senaraikan semua kebiasaan yang buruk yang ada pada anak-anak kasih dan sayang. Mulai dari hari ini cuba ubah kebiasaan-kebiasaan ini menjadi kebiasaan-kebiasaan yang baik. Mula dengan yang paling mudah untuk diubah.

Contoh kebiasaan yang ada pada kita, suka menyalahkan orang lain. Jadi mulai dari sekarang bila sesuatu yang tidak kita sukai berlaku, dan pada kebiasaannya kita menyalahkan orang lain, cuba berhenti sejenak, jangan salahkan orang lain, tetapi mencari apa yang telah kita lakukan sehingga perkara demikian itu berlaku. Jika anak-anak kasih dan sayang berbuat demikian lama-lama kelamaan ia akan menjadi kebiasaan, ini akan membantu untuk memperbaiki diri anak-anak kasih dan sayang.

Mengapa penting untuk mengubah kebiasaan-kebiasaan yang buruk ini? Mungkin ada yang berkata "Apalah pak su ni, tiap kali mencoret ada je yang kena buat." Ia sangat penting untuk diubah kerana kebiasaan ini mencerminkan jati diri kita. Kita akan dikenal dengan kebiasaan kebiasaan ini, jika baik sudah pasti kita akan dikenal dengan kebaikan-kebikan yang kita lakukan. Selamat mencuba dan berjaya. Wallahu a'lam.


Pak Su

Tiada ulasan:

Photobucket