Khamis, 17 Julai 2008

Mengkayakan Diri Sendiri



Kita boleh mengkayakan diri kita dengan melakukan banyak perkara. Di sini pak su ingin berkongsi beberapa perkara yang boleh menjadikan diri kita kaya dengan sifat-sifat murni, hidup tenang dan bahagia. Sebenarnya banyak yang kita boleh lakukan dengan kemampuan yang kita ada. Kita boleh :
  1. Menepati janji yang kita buat pada diri sendiri


  2. Membantu orang lain walaupun sekecil mana bantuan itu


  3. Berlemah lembut pada diri sendiri


  4. Berlaku jujur


  5. Sentiasa membaharui diri


  6. Memupuk bakat yang kita ada

Menepati janji yang kita buat pada diri sendiri

Selalu kita berjanji pada diri kita sendiri untuk melakukan banyak perkara dan berapa banyak pula yang kita mungkiri. Anak-anak kasih dan sayang telah pun menulis perubahan-perubahan yang nak di lakukan. Itu merupakan janji anak-anak kasih dan sayang pada diri masing-masing. Cuba lihat kembali pada catatan tersebut atau ingat kembali apa yang telah dituliskan dan cuba lakukan semuanya secara beransur-ansur. Jangan mungkiri janji yang telah kita buat pada diri sendiri kerana lama kelamaan kita juga akan mengkhianati janji kita kepada orang lain. Apalah yang ada lagi pada diri manusia jika sudah tidak boleh dipegang janjinya.


Membantu orang lain walaupun sekecil mana bantuan itu

Anak-anak kasih dan sayang juga telah banyak mencatit untuk menjadi anak yang soleh/solehah, pelajar yang baik dan kawan yang boleh diharapkan oleh teman-teman. Inilah masanya untuk mempraktikkan apa yang telah tercatat dalam buku program yang ada pada anak-anak kasih dan sayang. Cuba rasakan rasa bahagia dalam diri bila membantu orang lain walaupun sekecil mana bantuan yang telah diberikan. Lama-lama perasaan itu akan sentiasa berada dalam diri dan kita sentiasa berada dalam keadaan ingin membantu sesama insan.

Berlemah lembut pada diri sendiri

Selalu beri peluang kedua pada diri sendiri apabila melakukan kesilapan atau terlalai. Jangan rasa terlalu kecewa sehingga memarahi diri sendiri atau mengutuk. Cuba ketawa pada kesilapa-kesilapan bodoh yang telah kita lakukan dan perbaikinya di masa hadapan. Kalau kita sentiasa memarahi diri sendiri, kita akan berada dalam keadaan tertekan dan penyelesaian sukar didapati.

Berlaku jujur

Hendaklah berlaku jujur dalam semua keadaan. Sikap inilah yang menjadikan kita dihormati oleh orang lain. Dalam peperiksaan jangan sekali-kali meniru. Jika kita lulus dengan cara yang sebegini apa yang kita boleh banggakan, walaupun mungkin emak dan ayah kita gembira tapi dalam diri, kita tahu itu bukan usaha kita. Kita juga tahu bahawa kita telah menipu ibu dan ayah, tergamakkah kita melakukan perkara sedemikian, menipu emak dan ayah?

Sentiasa membaharui diri

Dalam masa kita berusaha dan belajar untuk mencapai kejayaan, ada kalanya kita merasa penat dan lelah. Baik juga jika kita pergi ke suatu tempat yang cantik dan duduk seketika merenung dalam diri kita, usaha-usaha kita yang lepas dan juga impian kita. Di sini juga kita boleh mengadu kepada Allah swt dan meminta ampun dosa-dosa kita yang lalu. Dengan ini kita akan dapat tenaga baru, mungkin "options" yang lebih baik untuk melakukan sesuatu. Dengan cara ini juga mungkin kita dapat membuang semua kekecewaan atau dosa yang kita sentiasa bawa bersama. Apabila kita tinggalkan semua ini perjalanan kehidupan kita akan menjadi lebih ringan.

Memupuk bakat yang kita ada

Setiap kita mempunyai bakat yang telah Allah swt kurniakan. Adalah tugas kita adalah untuk mencari apa bakat yang ada pada kita dan mengasahnya hingga bakat kita itu menyerlah jauh dari yang biasa.


Pak Su

Tiada ulasan:

Photobucket